Sabtu, 27 Mac 2010

Kem Bestari Solat Siri 1 2010

DIKEMASKINI | Temerloh, 27 Mac - Guru j-QAF dengan kerjasama panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan Kem Bestari Solat siri 1 bagi tahun 2010. Program ini disertai oleh semua murid tahun 1, 2 dan 3 Sekolah Kebangsaan Sanggang.


Program yang bertemakan "Solat Membentuk Peribadi Unggul" tersebut telah dibimbing oleh beberapa orang fasilitator disamping melibatkan beberapa guru lain sebagai urusetia.

Bermula jam 8:00 pagi, para peserta berhimpun di surau bagi sesi pendaftaran seterusnya mendengar taklimat dan pembahagian kumpulan. Kumpulan Tahun 1 dibimbing oleh Puan Noorfatimawati Ismail dan Ustaz Mohd Taufek Abd Rahman. Tahun 2 pula dibimbing oleh Ustazah Roshanizam Ahmad dan Puan Hajjah Noreha Abu Bakar. Ustaz Mohammad Isa Singah dan Ustazah Kamariah Tahir pula selaku pembimbing bagi murid-murid Tahun 3.

Setelah kumpulan diagihkan, murid-murid turut dibekalkan fail yang mengandungi lembaran kerja yang berkaitan dengan program. Program kali ini lebih menjurus kepada proses mengambil wuduk dengan betul dan tertib.

Pada jam 10:00 pagi, program berhenti rehat dan para peserta, fasilitator dan urusetia menikmati jamuan ringan yang telah disediakan oleh pihak penganjur.

Program diteruskan kembali pada jam 10:30 pagi. Kali ini, murid-murid akan dibimbing tentang cara-cara mengambil wuduk secara amali. Alhamdulillah, semua peserta berjaya menjalani amali tersebut dengan baik.

Program sekali lagi berhenti rehat untuk menikmati makanan tengah hari yang disediakan. Setelah selesai menjamu selera, murid-murid kembali berhimpun di surau sekolah, untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah. Apa yang membanggakan, terdapat ibu bapa di kalangan murid yang turut menyertai solat berjemaah tersebut.

Pada jam 1:40 tengah hari, murid-murid dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Guru Besar, barisan pentadbir serta guru-guru yang memberikan sumbangan tenaga bagi memastikan program ini dapat direalisasikan dengan baik. Hanya Allah swt sahaja yang mampu membalasnya.



























0 ulasan:

Catat Ulasan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More